Berita Sensasi Media Semasa

Tuesday, 22 August 2017

KENAPA KENA PAKAI TUDUNG, KU TEMUI JAWAPANNYA DI DEPAN KAABAH


Saat suami mengajak menunaikan umrah pada tahun 2000. Saya hanya diam membatu.
Sejujurnya saya takut. Hidup kala itu penuh dengan daki dunia. Ramai yang kata di sana Allah bayar tunai.

Gerun. Berat. Risau.

Tetapi apabila arwah mak menyampaikan hasrat rindu menatap Kaabah, ia umpama satu butang melonjak untuk ke sana. Hendak menunaikan hasrat mak.

Maka bersiaplah kami, mak, abah dan anak-anak. Urusan cuti sekolah anak dipermudahkan. Saat hantar borang cuti pada bos Mat Salleh itu, dia tanya kenapa hendak cuti panjang, jawapan pendek saya “hendak pergi bercuti”.

Hati berkata, orang Kristian ini, kalau kita sebut umrah pun bukan dia faham.

Mendengar jawapan “anak emas”nya hendak bercuti, diarahkan HR memberi saya sejumlah wang besar untuk dibelanjakan semasa “cuti” nanti.

Pesannya hanya satu, pulang segera, pejabat di New Zealand mahu saya ke sana.
Bos besar di sana sudah “jatuh cinta” dengan prestasi saya menaikkan jualan cawangan Malaysia berlipat ganda.

Hanya rakan Melayu sahaja yang tahu saya bercuti menunaikan umrah.

Suria, satu-satunya “sekutu” saya bertanya, “Will you cover your hair when you come back?”
Bertemu bos dari Kanada

Semasa di-pitching untuk jawatan itu, saya ditemuduga sendiri oleh Mac, bos dari Kanada yang memang dikenali sebagai “arrogant and cynical”.

Jujur ketika diminta hadiri temuduga, saya tidak sempat hendak menyediakan resume. Sijil akademik pun dalam kotak atas almari.

Pukul 10 pagi dihubungi agen, minta segera datang dalam satu jam. “Mr Mac” sedang menunggu.

Dalam satu jam, saya hanya sempat capai fail “PR”. Segala hasil kerja penerbitan, media, press, launching, buletin, speech, protokol istana, menteri, semua ada dalam fail itu.

Sewaktu sesi temuduga, saya beritahu Mac, saya tidak sempat sediakan resume kerana dipanggil saat akhir dalam masa yang terhad.

Malah sijil-sijil akademik pun tiada. Andai Mac mengambil saya bekerja, nanti kelak saya carilah dalam kotak untuk saya kemukakan.

Apa yang ada hanyalah hasil kerja saya. Itulah pengalaman. Sambil memberikan beliau fail yang sempat saya capai tadi.

Mac ketawa dan berkata, sepanjang hidupnya, itulah pertama kali calon datang dengan portfolio. Terus sahaja menawarkan jawatan tersebut kepada saya.

Dia cuma tanya satu soalan, “Lihat di luar,” sambil menyuakan mukanya memandang luar pejabatnya.

“Semua pekerja Melayu di luar sana memakai tudung. Hanya setiausaha, Cik Suria tidak. Adakah kamu akan mengenakannya bila bekerja di sini?”

Di luar pejabat Mac, menerusi cermin, saya lihat ramai pekerja luar, lelaki dan wanita sedang sibuk bekerja. Rata-rata pekerja wanita memang berbaju kurung dan bertudung.

Saya jawab, “Saya tidak tahu pada masa hadapan mungkin saya akan berubah dan berpakaian seperti mereka. Adakah satu halangan di sini, pekerja wanita tidak boleh menutup aurat?” tanya saya semula.

Mac terdiam. Dia tahu itu soalan perangkap. Dia di Malaysia pun atas permit kerja.
Dalam fail tertulis nama-nama bekas majikan. Dia tahu, ini bukan kali pertama saya akan bermajikankan bangsa asing sepertinya.

Sejenak selepas itu menjawab dalam nada terpaksa. “Tidak,” kemudian menyambung penuh teruja, “Boleh awak mula kerja esok?”
Suria, jangan risau

“Suria, jangan risau. Saya solat, saya baik, tidak mengumpat, tidak makan benda haram. Saya tidak akan pakai tudung selagi saya tidak tahu kenapa saya kena pakai tudung!” Jawab saya sombong.

Allahu. Jika dikenang semula jawapan angkuh itu, saya malu. Amat malu. Malu padaNya.

Bila Allah beri jawapanNya, “Kenapa kena pakai tudung”.

Jawapan bersulam penuh kasih sayang di hadapan Kaabah.
Kasih sayang Rasulullah di Madinah

Selesai Ziarah Wida’. Hari terakhir di Madinah. Kami menunggu bas untuk dibawa ke Makkah.

Pelajaran sangat mahal di sini. Sebelum ini segalanya saya ambil ringan. Solat, hadas, baca Quran, selawat dan pelbagai lagi.

3 hari di sini, kasih sayang Rasulullah SAW terasa meresap di jiwa. Terlalu banyak yang saya dapat. Tidak setimpal dengan apa yang saya bawa.

Saya umat yang tidak dapat berjumpa Baginda pun terasa kasih sayangnya. Apatah lagi mereka yang bertuah dapat hidup di zamannya. Patutlah Bilal tidak sanggup tinggal di kota yang banyak menyimpan kenangan ini.


Untunglah mereka yang disebut-sebut dalam Surah Al-Waqiah. Thulatunminnal awalin.

Soalan mula bermain di kepala. Layakkah saya untuk berada di golongan akhir? Waqolilumminnal a’ khirin. Jawapannya kena kerja keraslah.

Buat apa yang Baginda suka. Tinggalkan perkara yang kita tahu Baginda pasti benci. Yang mengundang murkaNya juga.

Saat pertama kali kaki melangkah masuk ke pagar, terasa seperti Rasulullah sendiri yang menyambut saya.

Ya, saya umatnya yang datang dengan penuh daki dunia. Yang tidak ambil kisah dengan sunnah-sunnahnya.

Hidup berkiblatkan dunia. Tidak layak disambut dengan kasih sayang melimpah ruah seperti itu.

Allahu. Jika tidak berjumpa jasadpun roh saya sudah terpaku, bagaimana saatnya bila di Padang Mahsyar nanti.

Mampukah kaki ini melangkah berlari ke Telaga Kauthar bila diseru, “Umatku, umatku.” Atau kaki melekat malu kerana hidup tidak pernah ada hubungan dengan sunnah dan selawat pada kekasih Allah ini.

Suasana Masjid Nabawi ketika itu tidak sama seperti sekarang ini. Raudhah amat dekat. Tiada peraturan beratur seperti sekarang.

Wanita dibenarkan masuk antara Zohor dan Asar. Perebutan hanyalah di saf satu dan dua. Selepas itu kita boleh duduk senang lenang. Baca Yassin pun tiada yang memijak, menghimpit atau menghalau.

Saat hati sayu meninggalkan Raudhah. Arwah Mak berpesan, “Ini baru Madinah, tunggu tengok Kaabah.”
Cinta Allah di Hadapan Kaabah

“Mak nak duduk di sini saja tunggu Isya’,” kata mak. Selalunya sementara menunggu Isya’, kami akan melakukan tawaf sunat.

Tetapi kali ini dataran Kaabah penuh. Malam Jumaat memang ramai jemaah datang beriktikad di Masjidil Haram.

Walaupun begitu, Kaabah masih boleh dilihat penuh dari sudut tempat kami. Arwah mak mengeluarkan buku Yassin yang dibawanya. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Lalu duduk bersimpuh di hadapan rak berwarna emas. Ada satu deret mushaf menarik perhatian kerana disusun pelbagai warna.


Diteliti dan diperhatikan mushaf bertulis jilid Urdu, Perancis, Mandarin, Inggeris dan pelbagai lagi. Fahamilah saya, ini mushaf terjemahan. Lalu mencapai kitab Al Quran berwarna hijau di hadapan saya.

Sebaik mengeluarkan kitab dari tempatnya, mata terpana melihat Baitul Kaabah. Melambai-lambai di celah-celah ruang kosong tempat asalnya kitab yang diambil tadi.
Tangan menyelak mencari Surah Yassin. Entah kenapa ia terhenti di satu surah.
Dalam hati, “Tak apalah, baca sahaja.”

Saya membaca merangkak-rangkak. Tajwid dan makhraj memang tidak sempurna. Orang jahil tiada ilmu begitulah. Terima sahaja kekurangan diri.

Sehingga tiba satu ayat, saya terhenti. Hendak sambung ayat seterusnya, mulut terkunci.
Eh, kenapa ni. Mungkin tidak sempurna bacaan ayat sebelum itu. Saya perlu baca semula.Cubaan kedua, terasa satu badan gugup. Kenapakah> Tidak pernah saya alami perkara ini.Saya cuba baca lagi. Ayat yang sama buat kali ketiga.Tiba-tiba hati teresak. Kerongkong terhenti menahan sebak. Kolam mata terasa bergenang.
Allah, apakah ini. Apakah ayat ini? Surah apakah yang saya baca ini? Tidak pernah hati saya takut sebegini.

Lalu akal berkata, carilah makna. Mata terus menatap mushaf berwarna-warni tadi. Dalam sesaat terlihat mushaf merah bertulis Borneo. Rujukan bahasa Melayu Allah letak hadapan mata.

Saya ambil. Bagai orang buta huruf, meyelak mukasurat yang sama. 426. Surah Al Ahzab.
Wah, nama surah pun menakutkan saya. Mencari ayat 59, yang bermula dengan “Ya ayuhanabiyu” itu. Terjumpa. Baca. Saya terpaku.

Allah. Mengangkat muka menatap Kaabah semula. Masih di situ. Melambai-lambai.

Tapi kali ini saya pandang penuh malu. Menakup mulut dengan tangan. Malu. Sangat malu.
Hamba ini datang dengan pertanyaan sombong, tapi Dikau jawab dengan lambaian kaabahMu.

Dalam istana mahligai Masjidil Haram ini. Kaki diperintahkan berdiri di rak mushaf ini. Badan diperintah melabuh disini. Jari diperintah menyelak mukasurat ini.

Semua anggota badan ini menurut perintahNya. Memberi jawapan yang bermain di kepala. Hanya akan menutup aurat bila tahu kenapa.

Jawapan mudah. Tutup aurat. Sebab apa?

Sebab DIA perintah. Sebab DIA suruh.Full stop.Bukan hadis. Bukan sunnah. Tapi firmanNya.Apa nak lagi? Tak nak ikut juga?

Nak jawab apa nanti di sana? Tiada hidayah? Yang diberi ini apa? Nak zalimi diri sendiri?
Allah. Besarnya hidayah ini. Diberi pada malam Jumaat, di dalam Masjidil Haram, disaksikan Kaabah yang tersergam.
[Al-‘Aĥzāb:59] Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan hijrah pertama pun bermula dalam kelangsungan hidup sementara ini.

Sumber : The Vocket

Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Google+
Tags :

Related : KENAPA KENA PAKAI TUDUNG, KU TEMUI JAWAPANNYA DI DEPAN KAABAH

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.